BERBUDI BAHASA, JALINAN MESRA

Seseorang itu akan senang berinteraksi dengan kita jika kita melayannya dengan mesra dan berbudi bahasa. Berikanlah dia peluang bercakap untuk meluahkan isi hatinya. Janganlah kita mengutamakan diri dan terus bercakap tanpa memberi peluang untuk orang bercakap.Jadikan diri sebagai pendengar lebih dari bercakap lebih tanpa mengendahkan orang untuk bercakap.

Jumaat, 30 Julai 2010

Adab bersalaman dan panggilan di kalangan masyarakat Melayu

 Setiap bangsa mempunyai cara tersendiri untuk memberi  salam. Kita orang Melayu kaya dengan  adat. Mengapa  berjabat tangan untuk memberi salam? Dengan berjabat tangan atau mencium tangan untuk orang yang lebih tua menunjukkan hormat kita kepada orang itu. Apa yang menjengkelkan Nena bila seseorang itu menghulurkan tangannya untuk bersalaman tetapi fokusnya pada orang lain. Nena berpendapat jika kita hendak bersalaman dengan orang,  hendaklah kita beri perhatian penuh pada orang itu. Jika kita hulurkan tangan tetapi kita berkelakuan acuh tak acuh, Nena anggap itu kurang sopan.Ini pendapat Nena saja ye.....

     Sering kali bila Nena pergi ke pasar, gerai makanan atau Kompleks Beli-Belah di Geylang, Nena selalu dipanggil "EMAk," oleh penjual yang menjual barangan mereka. Adakah ini panggilan terbaharu bagi pelanggan-pelanggan mereka? Adakah ini tanda hormat? Untuk bermesraan? Walaupun apa jawapan yang diberi, Nena kira panggilan "EMAK," itu unik. Hanya hak ibu   kita saja. Kenapa tak panggil Mak Cik,  Pak Cik, Nenek atau kakak. Lebih indah lagi kalau kita gunakan panggilan Encik, Cik atau Puan bagi orang yang kita baru kenal. Biarlah kita punyai kebiasaan sendiri bukan ikut budaya orang seberang.

     Apakah pendapat pembaca-pembaca sekalian? Nena alu-alukan pendapat anda.

Khamis, 29 Julai 2010

I-FON! I-PAD!

       


       Kemunculan I-Pad di kalangan masyarakat Singapura sungguh menakjubkan. Ada yang sanggup beratur berjam-jam untuk mempastikan mereka berjaya dapatkan I-Pad. Bagi Nena pula, anak Nena Redhza, yang memberikannya sebagai hadiah Hari Ibu.  Bukan itu sahaja..... dia juga telah menghadiahkan Nena I-Fon untuk hari lahir Nena. Terfikir juga Nena, "Ai, anak ni nak jadikan Nena super canggih ke?" Alhamdullilah, dia anak yang baik. Selalu mementingkan ibunya.

       Apakah itu I-Pad? Ada banyak fungsi yang dapat Nena lakukan. Nena boleh jadikan sebagai bingkai gambar. Semua gambar-gambar Nena naikmuatkan ke I-Pad dan simpan di situ. Nena juga boleh mencatatkan tarikh dan waktu temujanji dengan doktor. Nena juga dapat baca dan hantar emel melaluinya. Juga dengar Me Radio,  di mana-mana saja terutama sekali  mendengar azan untuk sembahyang. Nena selalu membaca berita melalui Straits Times, CNN, BBC dan juga menonton berita dari  saluran Al-Jazeera. Pengurusan perbankanan juga Nena lakukan melalui I-Pad. Tetapi yang paling menarik dan menyeronokkan bila Nena bermain permainan "Ninja Chop Chop" berdama cucu Nena Dante Omar. Anak kecil baru berumur empat tahun tahu mulakan I-Pad, tunggu seketika (loading) untuk permainan diturunkan dan mempunyai kecekapan jejari untuk bermain. Nena dapat mengeratkan kasih sayang dengan  main bersamanya. Ya, Nena juga bermain "Ninja Chop Chop dan Cop and Robber." 

       Apa dia I-Fon? Ia mempunyai fungsi yang agak sama tetapi alatnya kecil sahaja. Hanya Satu saja yang Nena ingatkan. Jangan biarkan I-Pad dijadikan alat permainan sahaja, tetapi selami fungsi yang lain. Takut jika hanya bermain saja, akan jadi lalai dan kerja-kerja akan terbengkalai.

Selasa, 27 Julai 2010

KAPAL PESISIRAN - PERMAISURI SORAYA



        Sempena ulang tahun Nena ke 66, kami sekeluarga telah pergi ke Raffles Marina. Di situlah berlabuhnya kapal pesisiran (yacht) kepunyaan anak Nena, Soraya dan suaminya Igor IldharCapitani. Kapal pesisiran dua tingkat ini dilengkapi dengan dua buah bilik tidur, ruang tamu dan dapur. Ianya telah dinamakan Permaisuri Soraya.

        Nena telah menikmati pemandangan yang sangat indah, iaitu ketika matahari terbenam. Anak-anak Nena yang terdiri daripada Mohamed Redhza dan isterinya, Intan Azura serta cucu-cucu Nena, Adam Dhia'ulhaq, Annika Baitrisya, Dante Omar dan Allegra Iman telah menjamu selera di atas kapal. Angin yang sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi keindahan alam.

        Nena bersyukur terhadap Allah swt kerana diberkati hidup Nena dengan kesihatan, ketenangan dan kelesaan hidup. Alhamdullilah! Nena teringat dengan kata-kata seorang sahabat Nena, Encik Alami. "Bila kita menjangkau usia lanjut, kita mesti ada "TIGA M." (Money, Mind and Mobility). " Cukup wang, mental yang waras dan pergerakan badan yang  sihat. Apa pula pandangan pembaca blog ini?

Sabtu, 24 Julai 2010

HARI BAHASA-BAHASA ASIA - SABTU, 24 JULAI 2010

         







Sejak pukul 7.30 pagi lagi, Nena, Fangyu (Asmara Juwita), Zhi Qi (Nona Kirana) dan Hui Yee (Ariana Putri) telah tiba di Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan, Bishan St 14. Kami dan 10 orang pelajar-pelajar Sekolah Tinggi Chung Cheng (Utama) telah ikut serta meraikan "Hari Bahasa-Bahasa Asia MOELC." Pelajar-pelajar telah di bahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan oleh Jabatan Bahasa Arab, Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu Program Khas. Suatu persembahan konset telah dijayakan oleh kumpulan silat murid-murid bahasa Indonesia, Tarian Arab oleh murid-murid bahasa Arab dan Dikir Barat oleh pelajar-pelajar MSP. Sekolah Tinggi Chung Cheng (Utama) juga telah membuat persembahan nyanyian. Fangyu telah dendangkan sebuah lagu Siti Nurhaliza, dengan begitu merdu sekali. Nyanyiannya telah menarik perhatian Tetamu Kehormat, Deputi Direktor,CPDD, Kementerian Pendidikan, Encik Yue Lip Sin. Beliau telah mengarahkan agar Asmara Juwita ditemuduga mengenai pendapatnya tentang belajar bahasa Melayu melalui nyanyian. Syabas! Asmara, Nena sangat bangga dengan persembahan kamu. Dengan rangsangan ini, ramai lagilah penyanyi-penyanyi bahasa Melayu yang akan timbul di Sekolah Tinggi Chung Cheng (Utama).
Di sini Nena juga ingin dedahkan yang Nena pun ada nama Cina..... Lo See Lah. Kalau mereka ada nama Melayu ...... Fangyu dan murid-murid MSP4, rasa yang Nena juga mesti ada nama Cina. Hee..hee...hee...

Isnin, 19 Julai 2010

Bazar Di Tepi Tasik Sekolah Tinggi Chung Cheng (Utama)

Dendangan lagu Siti Nurhalizah kedengaran di Concourse bersebelahan tasik CCHSM. Seorang pelajar MSP4, Lui Fangyu, (Asmara Juwita) telah menyanyi di "Penjuru Busking." Nena amat tertarik dengan suaranya yang merdu ala Siti Nurhalizah. Walaupun keadaan sejuk dan hujan turun dengan  lebat, ramai pelawat Bazar telah berkumpul untuk menonton  Fangyu menyanyi. Habis saja dia menyanyi, tepukan gemuruh telah kedengaran.

Hujan lebat menyebabkan bah di kawasan tasik. Sebuah pokok telah tumbang dan kawasan itu telah dilarang masuk. Semua gerai yang sepatutnya berada di tepi tasik telah dipindahkan ke kantin. Temasya itu telah berakhir pada pukul 4.00 petang. Temasya Bazar Di Tepi Tasik telah berjaya Walaupun penat, guru-guru dan pelajar-pelajar CCHSM telah menunjukkan semangat bekerjasama dan menghadapi segala cabaran dan rintangan dengan penuh ketabahan.  Syabas CCHSM!

Rabu, 14 Julai 2010

Kasihanilah Binatang

Hari ini, Nena sungguh berasa sedih. Dalam perjalanan ke sekolah, Nena terlihat bangkai seekor kucing di tengah jalan raya. Kucing itu telah digilis oleh sebuah kenderaan. Badannya berlumuran darah. Nena mahu berhentikan kereta untuk memberikan pertolongan.... tetapi keadaan tidak mengizinkan Bahaya! Banyak kenderaan yang lalu lintas di situ. Nena terfikir betapa malangnya nasib Si Kucing itu. Tiada berdaya untuk membela diri. Ada pula manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka begitu zalim terhadap binatang. Nena teringat kepada kata-kata Mahatma Ghandi, "Keanggunan sesuatu negara diukur dengan kebaikan  mereka melayan binatang," (The grace of a nation is judged by the way they treat their animals). Adakah masyrakat kita dalam golong mereka yang belas kasihan terhadap binatang? Berikanlah pandangan anda terhadap isu ini,,,,,,,,,

Selasa, 13 Julai 2010

Ucapan Rangsangan Untuk Memilih Sekolah Menengah Bagi Murid-Murid Darjah 6Sekolah Rendah Coral

Sabtu lalu, 10hb Julai, Nena bersama dua orang guru dan empat orang murid Sekolah Tinggi Chung Cheng (Utama) telah diundang ke Sekolah Rendah Coral, di Pasir Ris untuk memberi ucapan. Tujuan kami ke situ untuk memberangsangkan murid-murid darjah 6, memilih Sekolah Tinggi Chung Cheng (Utama) sebagai sekolah menengah mereka. Ada lagi empat buah sekolah menengah turut mengambil bahagian. Nena telah diajukan soalan daripada sebuah keluarga Cina yang baru saja bekerja di Singapura setelah 17 tahun di New Zealand. Mereka berasal dari Malaysia. Mereka telah luahkan hajat mereka untuk anak mengambil Bahasa Melayu Program Khas walaupun anak mereka dikecualikan  belajar bahasa ibunda. Nena gembira kerana setelah 17 tahun di rantauan, mereka masih pentingkan bahasa Melayu dan berminat untuk anak mereka belajar bahasa ini.

Jumaat, 9 Julai 2010

Melungsuri Lelaman Facebook



Nena kerap kali melungsuri lelaman Facebook. Di sinilah Nena dapat berita tentang sahabat handai, kaum keluarga dan mantan pelajar-pelajar Nena. Nena mengetahui bahawa Toning di Indonesia baru saja menimang cucu, Tati di Holland dengan kebun bunganya, mantan pelajar Nena,  Erik dalam fakulti guaman di NUS, Yang Sheng sedang menjalani Perkhimatan Negara ....... merungut kerana tidak dapat menonton Piala Dunia. Beliau kini  berlatih di hutan!! Lelaman Facebook adalah tempat kita menghantar dan menerima berita. Nena sungguh gembira Albertus Setyaparata sedang melanjutkan pelajarannya di Sydney. Walaupun kenalan-kenalan Nena berada di seluruh dunia, Nena dapat menjejak mereka melalui lelaman Facebook.

Isnin, 5 Julai 2010

Taichi Untuk Menguatkan Tulang

Setiap Isnin, pada pukul 8.00 malam, Nena dan suami, Rahim, akan ke latihan Taichi di Kelab Masyarakat Yio Chu Kang, Hanya kami berdua berbangsa  Melayu. Bahasa yang digunakan adalah dalam bahasa Mandarin dan Inggeris.Yang menyenangkan dan  membanggakan  Nena ialah apabila jurulatih berbangsa Cina cuba memberi arahan dalam bahasa Melayu. Frasa-frasa seperti "Jangan senget, tak boleh tahan,  jangan goyang dan sebagainya  " telah digunakan. Rupa-rupanya, Encik Simon tahu serba sedikit berbahasa Melayu. Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu hidup di kalangan masyarakat  bukan Melayu.

Jumaat, 2 Julai 2010

 

         Hari ini Nena dan murid-murid Jabatan MSP (Malay Special Programme) telah mengambil foto beramai-ramai. Kami beraksi di tepi tasik. Tasik ini menjadi kebangaan Sekolah Tinggi Chung Cheng Utama. Tujuan kita bergambar untuk  kenangan manis murid-murid Jabatan Bahasa Melayu Program Khas tahun 2010. Nena berasa sangat bangga dan gembira pada hari ini.
Nena menulis blog pada pukul 3.40 petang.

Khamis, 1 Julai 2010

Nena mengambil keputusan untuk menyertai peraduan menulis blog hari ini. Agak lewat tetapi asalkan dapat mengambil keputusan yang positif. Seorang pelajar Nena, Tan Yan Jie (Maya Kesuma) yang belajar bahasa Melayu sebagai Program Khas telah memberikan galakan. Murid-murid Nena sentiasa menunjukkan minat untuk belajar bahasa Melayu, masakan, permainan dan juga budayanya. Nena juga memberi respons yang hangat  untuk mencerna minda mereka.